Pages

Sunday, September 25, 2011

Wednesday, September 21, 2011

Modal Insan sebagai Khalifah Berdasarkan Sumber Al-Qur’an

Dalam ilmu Falsafah Kemanusiaan, terdapat banyak huraian, perbincangan dan perdebatan mengenai insan dan manusia. Namun, berdasarkan analisis yang dibuat oleh Dr. Shahibuddin Laming terhadap pemikir-pemikir Arab seperti Al-Kindi dan Al-Ghazali, walaupun ada perbezaan, tetapi makna-makna tersebut berhubung kait antara satu sama lain kerana manusia mempunyai kemampuan menanggapi dan menyatakan emosi semasa berkomunikasi sesama mereka. Mereka juga mempunyai kedudukan sebagai “pengurus bumi” dan hanya akan memperolehi kegembiraan (kebahagiaan) jika dia melaksanakan tugas itu. Kata insan mengandungi konsep manusia sebagai makluk yang memiliki sifat keramahan dan kemampuan mengetahui yang sangat tinggi. Dengan ungkapan lain, manusia juga tidak lari sebagai makhluk sosial dan kultural.

Walaupun terdapat pelbagai perbincangan, akhirnya pemikir-pemikir Islam bersatu mengakui bahawa status manusia adalah sebagai khalifah di muka bumi. Hal ini berdasarkan sumber Al-Qur’an yang telah diterangkan oleh Allah s.w.t. Berdasarkan firman-Nya “Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para Malaikat: "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi." Mereka berkata: "Mengapa Engkau hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu orang yang akan membuat kerosakan padanya dan menumpahkan darah, padahal kami senantiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan mensucikan Engkau?" Tuhan berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui." (Al-Baqarah 2:30)

Seterunya, berdasarkan maksud firman Allah bahawa “dan Dia lah yang menjadikan kamu penguasa-penguasa di bumi dan Dia meninggikan sebahagian kamu atas sebahagian (yang lain) beberapa darjat, untuk mengujimu tentang apa yang diberikan-Nya kepadamu. Sesungguhnya Tuhanmu amat cepat siksaan-Nya dan sesungguhnya Dia Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Al-An’aam 6 : 165 )

Maksud terjemahan firman-Nya lagi iaitu “Atau siapakah yang memperkenankan (doa) orang yang dalam kesulitan apabila ia berdoa kepada-Nya, dan yang menghilangkan kesusahan dan yang menjadikan kamu (manusia) sebagai khalifah di bumi? Apakah disamping Allah ada tuhan (yang lain)? Amat sedikitlah kamu mengingati(Nya)”. ( An Naml 27:62)

Terjermahan seterusnya “Dia-lah yang menjadikan kamu khalifah-khalifah di muka bumi. Barangsiapa yang kafir, maka (akibat) kekafirannya menimpa dirinya sendiri. Dan kekafiran orang-orang yang kafir itu tidak lain hanyalah akan menambah kemurkaan pada sisi Tuhannya dan kekafiran orang-orang yang kafir itu tidak lain hanyalah akan menambah kerugian mereka belaka.” ( Surah Faathir 35:39)

Kemudian Allah berfiman lagi iaitu “Hai Daud, sesungguhnya Kami menjadikan kamu khalifah (penguasa) di muka bumi, maka berilah keputusan (perkara) di antara manusia dengan adil dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu, kerana ia akan menyesatkan kamu dari jalan Allah. Sesungguhnya orang-orang yang sesat dari jalan Allah akan mendapat azab yang berat, kerana mereka melupakan hari perhitungan.” (Surah Shaad 38: 26)

Berdasarkan ayat-ayat di atas jelas membuktikan bahawa manusia diturunkan oleh Allah s.w.t ke muka bumi adalah untuk memegang status sebagai khalifah (penguasa). Dengan itu, dapatlah dikatakan bahawa ayat-ayat di atas berkaitan dengan aspek fungsional manusia. Manakala, dari pengertian khalifah pula, seperti akan jelas bahawa ia mengandungi makna tanggungjawab.

Selain itu, syarat utama untuk menimbulkan kesedaran dan penghayatan terhadap fungsi manusia sebagai khalifah Allah, yakni sebagai pemegang amanah Allah s.w.t untuk mengamankan bumi, di samping itu perlu melaksanakan tugas wajib (fardhu ‘ain) sebagai hamba Allah s.w.t selaras dengan penciptaannya yang terkandung dalam firman Allah s.w.t “Dan Aku tidak menjadikankan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah-Ku” (Adz Dzaariyaat 51 : 56)

Dalam usaha membangunkan modal insan yang murni dan harmoni berlandaskan syariat Islam, jadi pertamanya pembentukan manusia sesuai dengan kedudukannya sebagai khalifah Allah s.w.t adalah perlu. Atau jika kedudukan ini sudah dibentuk tetapi telah runtuh, maka usaha penting ialah membentuk semula kedudukan atau status manusia yang telah runtuh itu. Hal ini dapat digambarkan dengan kegiatan-kegiatan pembangunan kemudian mestilah dijalankan oleh khalifah Allah s.w.t ini terutama mereka yang mempunyai kuasa seperti pemerintah, para perancang, para penyelidik, para pentadbir, dan pelaksana pembangunan.

Apabila pembangunan sudah terbina yang bermula daripada usaha khalifah Allah, maka pembentukan kedudukan kekhalifahan di kalangan masyarakat boleh diteruskan serentak dengan segala kegiatan pembangunan fizikal atau material. Sesungguhnya, pembangunan itu banyak ujiannya terhadap keimanan manusia. Pentingnya kita memulakan segala kegiatan pembangunan berlandaskan kekhalifahan adalah nyata. Dengan kedudukan inilah nilai-nilai pembangunan yang murni dapat dilahirkan, umpamanya gemar mengagihkan semula kekayaan kepada yang memerlukan, sentiasa bersikap sederhana, mengelak daripada perbuatan israf, iaitu membelanjakan secara berlebihan walaupun ke atas barangan yang halal, dan tabzir, iaitu membelanja dengan cara haram di samping menggunakan hanya barangan-barangan al-tayyibat, iaitu barangan yang baik-baik dan yang bersih daripada pandangan Islam agar dapat diwujudkan bukan sahaja rahmatan-linnas, rahmat kepada manusia, tetapi juga rahmatan-lil-alamin, rahmat kepada sekalian alam.

Makna khalifah iaitu pengganti kepada Nabi Muhammad s.a.w atau gelaran ketua agama dan raja di negara Islam, atau setiap insan yang diamanahkan atau dipertanggungjawabkan oleh Allah untuk mengurus dan mentadbir dunia ini mengikut syariat Allah.

Selain itu, berdasarkan hadith Rasulullah s.a.w, baginda bersabda “kalian semua adalah pemimpin dan setiap pemimpin bertanggungjawab atas kepimpinannya, seorang Imam adalah pemimpin dan bertanggungjawab atas kepimpinannya, seorang suami adalah pemimpin dalam keluarganya dan bertanggungjawab atas kepimpinannya, seorang isteri adalah pemimpin dalam rumah suaminya dan bertanggungjawab atas kepimpinannya, pembantu itu adalah pemimpin dalam harta tuannya dan bertanggungjawab atas kepimpinannya dan semua kalian pemimpin dan bertanggungjawab atas kepimpinannya.”

Maksud hadith ini jelas membuktikan bahawa setiap kaum muslim itu adalah pemimpin bermula dari golongan atasan, pertengahan dan bawahan. Hal ini kerana seseorang itu tidak terlepas daripada mempunyai tanggungjawab masing-masing, dari sekecil-kecil sehinggalah sebesar-besar tanggungjawab. Perkara inilah yang dipikul oleh seseorang khalifah di bumi Allah yang sarat dengan ujian keimanan. Khalifah bertanggungjawab dan mempunyai amanah dalam menguruskan bumi ini. Oleh itu, hal ini adalah selari dengan konsep sumber alam yang telah ditundukkan kepada manusia oleh Allah s.w.t untuk kegunaan manusia sepanjang kehidupan. Oleh demikian, manusia sebenarnya adalah hamba Allah yakni menjalinkan hablum-minallah (hubungan menegak dengan Allah) dan sebagai khalifah yakni hablum-minannas (hubungan mendatar manusia sesama manusia dan hubungan manusia sesama sumber alam). Maka, ianya akan membawa kepada ibadah fardhu ain dan fardhu kifayah.

Sebarang pembangunan fizikal atau aktiviti kehidupan sama ada pekerjaan atau pembelajaran, ianya dikendalikan oleh manusia yang berstatuskan khalifah. Setiap modal insan sudah semestinya berstatuskan khalifah, tidak kira sama ada sebagai pemimpin, arkitek, jurutera, guru, setiausaha, pengilang, mahupu pelajar, perlu memahami status dan konsep khalifah secara lebih mendalam dan menghayatinya. Hal ini membawa kepada mempertahankan status sebagai khalifah di muka bumi iaitu tahu perjalanan hidupnya, tahu matlamat hidupnya dan tahu tempat kekalnya. Sekiranya umat Islam tidak lagi dapat mempertahankan status khalifah, nescaya akan berlakulah perkara yang sangat merbahaya yakni pembangunan yang dicipta untuk manusia telah bertukar sebaliknya iaitu manusia untuk pembangunan. Ini membawa gambaran bahawa manusia telah menjadi hamba kepada pembangunan fizikal/ material atau aktiviti kehidupan. Keadaan ini akan bertambah parah kerana semestinya akan berlaku perlanggaran syariat Allah iaitu sebagai penjagaan untuk manusia di dunia ini. Maka, dapatlah diandaikan bahawa akan berlaku masalah sosial yang berkaitan dengan akhlak yang meruntuhkan akidah muslim.

Oleh demikian, untuk mengawal akhlak khalifah sepanjang mengurus dan mentadbir muka bumi ini, perlu ditanam dengan iman-iman yang baik dan nafsu-nafsu yang baik. Ini akan membawa kepada sifat-sifat mahmudah dan menghindarkan diri daripada sifat-sifat mazmumah yang akhirnya dapat menjalankan amar makruf nahi mungkar.

Justeru, dapatlah dikatakan bahawa pembangunan modal insan bukan sahaja perlu mementingkan ilmu, kemahiran, malahan perlu menitik beratkan soal akhlak/ etika yang berasal daripada peranan khalifah supaya kehidupan sejahtera dan dalam keredhaan Allah senantiasa. Hal ini bersesuaian dengan matlamat umat Islam yakni menuju mardhatillah di akhirat kelak. Malahan, dapat membezakan diri dengan orang barat yang menggunakan sumber manusia untuk bermatlamatkan keuntungan duniawi semata-mata, atau dipanggil haiwan ekonomi yakni kerjanya hanya mengeluar dan mengguna serta berkecenderung untuk melakukan nilai-nilai negatif kerana mengejar kemewahan dan kesenangan dunia dengan melupakan pembalasan akhirat.

Tuesday, September 20, 2011

Tip melanjutkan pelajaran ke peringkat PhD


1) Memikirkan bidang yang benar-benar boleh menjadi kesukaan hati.. Kemudian pilih topik yang dirasakan mempunyai bahan atau data yang mudah didapati agar tidak menyukarkan sewaktu menulis tesis nanti..

2) Kecilkan topik, fokus dan khususkan dengan apa yang ingin dibincangkan dalam kajian nanti. Jangan lupa lakarkan skop dan batasan kajian supaya tidak melencong kepada perkara lain.

3) Sebab utama kajian dilakukan kerana adanya permasalahan yang ingin diteliti, difahami, dianalisis dan ingin diselesaikan. Oleh itu, pernyataan masalah (problem statement) haruslah benar-benar ada masalah.. Pastikan masalah itu relevan, mempunya bukti yang betul (ada data menunjukkan sesuatu perkara atau kejadian itu mempunyai masalah atau bertentangan dengan nilai). Pastikan juga penyataan masalah itu ada membawa kesan yang negatif kepada sesebuah institusi, masyarakat, agama atau sebagainya. Lagi bagus sekiranya isu semasa yang berpanjangan. Cuba elak daripada isu yang dirasa akan tidak dibincangkan lagi atau ketinggalan zaman.

4) Kerap kali berjumpa dengan penyelia utama supaya dapat berbincang secara mendalam kerana penyelia adalah guru kita dan sebagai panduan ke arah kajian kita. Pastikan sebelum berjumpa penyelia, bersiap sedialah dengan idea-idea serta nyatakan apa yang ingin dikaji dan jangan pergi dengan mengharap penyelia memberi semuanya.

5) Jangan terlalu memikirkan ingin membuat sesuatu topik atau kajian yang besar, payah dan diluar kemampuan. Cukup dengan bersederhana. Bersederhana ini supaya anda dapat bergraduasi dalam tempoh masa yang sepatutnya seperti dalam 2 tahun ke 3 tahun.

6) Banyak perbezaan pembelajaran antara sarjana muda, sarjana/master dan doktor falsafah.Ibaratnya masa sarjana muda kita pelajari secara umum tentang keseluruhan tubuh badan manusia. Di peringkat sarjana/master, kita pelajari secara umum dan khusus sedikit berkaitan sebahagian tubuh manusia iaitu tangan dan kaki manusia sahaja. Dalam doktor falsafah pembelajaran kita akan lebih fokus dan kecil lagi iaitu cukup belajar berkaitan telinga manusia sahaja. Ini kerana kita akan melakukan kajian secara lebih mendalam dan terperinci berkaitan telinga.

7) Menulislah...Tulis proposal anda walaupun dua ayat sehari. tulis apa sahaja idea yang ada, permulaan, jangan hiraukan lagi tentang struktur ayat, tatabahasa, ayat cantik atau tidak.. lontorkan dahulu idea yang ada supaya anda tidak mudah stress dan terhalang menulis kerana memikirkan struktur ayat pada hari tersebut. Kemudian, setelah esok atau tidak lama kemudian, semaklah kembali idea anda tersebut. Masa tersebut baiki mana-mana yang dirasakan perlu dibaiki, masa ini akan nampak kesalahan bahasa kita kerana anda berada dalam keadaan tenang dan tidak memikirkan idea yang lain.

8) Kerap kali hantar apa yang telah ditulis kepada penyelia untuk semakan supaya penulisan seterusnya ada panduan dan betul.

9) Dari awal set kan minda anda bahawa, pembaikian merupakan perkara utama dalam menulis tesis setelah disemak oleh penyelia. Tidak mustahil hanya bab satu yang mengandungi 20 hinga ke 40 mukasurat anda akan membaiki berpuluh-puluh kali.. sehinggalah penyelia rasa benar-benar terbaik.

10) Penyelia merupakan orang yang akan bersama kita sewaktu membentangkan proposal dan tesis nanti. Penyelia merupakan orang yang akan mempertahankan kajian kita kelak. Maka, pastikan anda sependapat dengan penyelia dalam kajian, usah ragu dengan penyelia kerana mereka lebih berpengalaman dan pakar dalam bidang kajian kita.

11) Pastikan anda menulis proposal/tesis mengikut teknikal yang telah ditetapkan oleh universiti masing-masing supaya tidak menyusahkan anda kelak untuk membaikinya. Teknikal juga mempunyai markah yang tersendiri dan sangat mempengaruhi markah anda. Contoh teknikal tersebut ialah margin, bibliografi, ejaan, tatabahasa dan sebagainya.

***ok, selamat maju jaya :-)