Pages

Thursday, March 10, 2011

Ambillah Hikmah dari Setiap Kejadian

Perbincangan mengenai hikmah dan cubaan/musibah ini diolah daripada buku siri penyejuk hati La Tahzan (Jangan Bersedih/Don’t Be Sad) Setelah Kesulitan Pasti Ada Kemudahan dan dari petikan terjemahan ayat-ayat al-Qur’an sebagai panduan.

Orang cerdik akan berusaha merubah kerugian menjadi keuntungan. Sedangkan orang yang bodoh akan membuat satu musibah menjadi bertampuk dan berlipat kali ganda.

Ketika Rasulullah s.a.w diusir dari Mekah, Baginda memutuskan untuk menetap di Madinah dan kemudian berjaya membangunkannya menjadi sebuah negara yang sangat akrab di telinga dan mata sejarah.

Ahmad bin Hambal pernah dipenjara dan dihukum dera, tetapi kerana itu ia kemudiannya menjadi imam salah satu mazhab. Ibnu Taimiyah pernah dipenjara, tetapi justeru di penjara itulah ia banyak melahirkan karya. As-Sarakhsi pernah dikurung di dasar perigi selama bertahun-tahun, tetapi di tempat itulah ia berjaya mengarang buku sebanyak 20 jilid. Ketika Ibnu al-Atsir dipecat dari jawatannya, ia berjaya menyelesaikan karya besarnya yang berjudul Jami’ul Ushul dan An-Nihayah, salah satu buku yang terkenal berkaitan hadis. Demikiannya halnya dengan Ibnu as-jauzi. Ia pernah diasingkan dari Baghdad, dan kerana itu ia menguasai qira’ah sab’ah. Malik bin Ar-Ghaib menderita suatu penyakit yang boleh membawa kematian, namun ia mampu melahirkan syair-syair yang sangat indah dan tidak kalah dengan karya-karya para penyair besar zaman ‘Abbasiyyah. Ketika semua anak Abi Dzuaib Al-Hudzali mati meninggalkannya seorang diri, ia justeru mampu menciptakan nyanyian-nyanyian puisi yang mampu menutup mulut para pendengarnya, membuat setiap pendengarnya tersihir, memaksa sejarah untuk selalu bertepuk tangan saat mendengarnya kembali.

Begitulah, ketika tertimpa sesuatu musibah, anda harus melihat dari sudut yang paling terang darinya, ketika seseorang memberi anda segelas air limau anda perlu menambah sesenduk gula ke dalamnya. Ketika mendapat hadiah seekor ular dari seseorang, ambil saja kulitnya yang mahal dan tinggalkan bahagian tubuhnya yang lain. Ketika disengat kala jengking ketahuilah bahawa sengatan itu sebenarnya membezakan kekebalan pada tubuh anda dari bahaya bisa ular.

…..boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagi kamu….(Al-Baqarah: 216)

Petiklah Hikmah dari Setiap Musibah

Di antara hikmah di balik terjadinya musibah adalah :
1. Untuk memunculkan bentuk ibadah berupa doa, yang sebelumnya tidak pernah nampak.
Seseorang berkata “Maha Suci Dzat Allah yang telah memunculkan doa hambaNya dengan cara memberinya cubaan.” Dalam sebuah atsar disebutkan bahawa Allah memberikan cubaan kepada seorang hamba-Nya yang soleh, lalu Allah berfirman kepada para Malaikat-Nya “tujuannya adalah agar Aku mendengar suaranya. Maksudnya, doa dan permohonannya.”

Siapakah yang memperkenankan (doa) orang yang dalam kesulitan apabila ia berdoa kepada-Nya, dan yang menghilangkan kesusahan dan yang menjadikan kamu (manusia) sebagai khalifah di bumi. Apakah di samping Allah ada tuhan (yang lain)? Amat sedikitlah kamu mengingati(Nya). (An Naml: 27)

2. Untuk meredakan nafsu manusia yang cenderung melampaui batas. Allah SWT berfirman; “Ketahuilah, sesungguhnya manusia itu benar-benar melampaui batas. Ketika melihat dirinya merasa serba cukup.” (Al-An-‘am: 6-7)

3. Untuk membangkitkan kesedaran manusia untuk menyayangi dan mendoakan orang yang tertimpa musibah. Sesungguhnya manusia mempunyai kecenderungan untuk bersimpati dan saling membantu ketika tertimpa musibah dan bencana.

4. Untuk menunjukkan adanya anugerah yang nilainya jauh lebih besar daripada musibah itu sendiri, kerana musibah yang menimpa seseorang jauh sangat kecil apabila dibandingkan dengan besarnya nilai anugerah yang bakal diberikan kepadanya. Seseorang yang ditimpa musibah akan diberi ampunan atas dosa-dosa dan kesalahannya dan akan diberi pahala oleh Allah.

5. Untuk menaikkan darjat seseorang yang tertimpa musibah dengan adanya kesabaran, keikhlasan, kuat beribadah dan segala yang menjurus kepada penambahan iman dan akhirnya menjadi mulia di sisi Allah SWT.

Jika seseorang hamba telah mengetahui bahawa semua hal yang telah disebutkan di atas adalah hikmah yang dapat dipetik daripada musibah, nescaya ia akan tenang, tenteram, tidak akan gelisah, dan tidak akan berputus asa tatkala mendapat musibah.

Doa-doa ketika terjadi musibah :

Katakanlah: "Siapakah yang dapat menyelamatkan kamu dari bencana di darat dan di laut, yang kamu berdoa kepada-Nya dengan rendah diri dengan suara yang lembut (dengan mengatakan: "Sesungguhnya jika Dia menyelamatkan kami dari (bencana) ini, tentulah kami menjadi orang-orang yang bersyukur" ( Al An'aam :63)

Dan kamu tidak menyalahkan kami, melainkan karena kami telah beriman kepada ayat-ayat Tuhan kami ketika ayat-ayat itu datang kepada kami." (Mereka berdoa): "Ya Tuhan kami, limpahkanlah kesabaran kepada kami dan wafatkanlah kami dalam keadaan berserah diri (kepada-Mu)." (Al A'raaf: 126)

Dialah Tuhan yang menjadikan kamu dapat berjalan di daratan, (berlayar) di lautan. Sehingga apabila kamu berada di dalam bahtera, dan meluncurlah bahtera itu membawa orang-orang yang ada di dalamnya dengan tiupan angin yang baik, dan mereka bergembira kerananya, datanglah angin badai, dan (apabila) gelombang dari segenap penjuru menimpanya, dan mereka yakin bahawa mereka telah terkepung (bahaya), maka mereka berdoa kepada Allah dengan mengikhlaskan ketaatan kepada-Nya semata-mata. (Mereka berkata): "Sesungguhnya jika Engkau menyelamatkan kami dari bahaya ini, pastilah kami akan termasuk orang-orang yang bersyukur."(Yunus:22)

(Ingatlah) tatkala para pemuda itu mencari tempat berlindung ke dalam gua, lalu mereka berdoa: "Wahai Tuhan kami, berikanlah rahmat kepada kami dari sisi-Mu dan sempurnakanlah bagi kami petunjuk yang lurus dalam urusan kami (ini)."(Al-Kahfi: 10)

Dan (ingatlah kisah) Dzun Nun (Yunus), ketika ia pergi dalam keadaan marah, lalu ia menyangka bahawa Kami tidak akan mempersempit nya (menyulitkannya), maka ia menyeru dalam keadaan yang sangat gelap "Bahawa tidak ada Tuhan selain Engkau. Maha Suci Engkau, sesungguhnya aku adalah termasuk orang-orang yang zalim." (Al Anbiyaa':87)

Nuh berdoa: "Ya Tuhanku, tolonglah aku, kerana mereka mendustakan aku."( Al Mu'minuun:26)

(Luth berdoa): "Ya Tuhanku selamatkanlah aku berserta keluargaku dari (akibat) perbuatan yang mereka kerjakan." (Asy Syu'araa':169)

Musa mendoa: "Ya Tuhanku, sesungguhnya aku telah menganiaya diriku sendiri karena itu ampunilah aku." Maka Allah mengampuninya, sesungguhnya Allah Dialah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. (Al Qashash: 16)


Dalam sebuah hadis disebutkan;
“Sesungguhnya besarnya pahala itu sesuai dengan besarnya ujian yang diterima. Sesungguhnya Allah itu jika mencintai suatu kaum, nescaya Allah akan menguji mereka. Maka barang siapa yang ikhlas menerima ujian-Nya, maka dia akan mendapat keredaan Allah (dan pahalanya), dan barang siapa yang benci dengan ujian-Nya, maka dia akan mendapatkan murka Allah (dan seksa-Nya).” Hadis riwayat At-Tirmidzi

Di dalam musibah itu terdapat beberapa perkara antara lain; kesabaran takdir dan pahala. Hendaklah seseorang hamba mengetahui bahawa yang berhak mengambil adalah Yang Memberi, dan yang berkuasa untuk merebut kembali adalah Yang Menganugerahi.


Kata-kata positif Menghadapi Musibah
Di antaranya;
1. Memikirkan dan menunggu pahala/ ganjaran dari sisi Allah ‘Azza wa Jalla;
….sesungguhnya hanya orang-orang yang bersabarlah yang dicukupkan pahala mereka tanpa batas. (Az-Zumar:10)

2. Melihat kepada orang lain yang mendapat musibah;
“Kalau saja tidak ku lihat esak tangis orang yang ditimpa musibah di sekitar diriku, tentulah telah kubunuh diriku”.
Maka berpalinglah ke kanan dan ke kiri adakah anda lihat di sekeliling hanya orang-orang yang tertimpa musibah dan ujian.?

3. Yakin bahawa musibah yang menimpa diri anda jauh lebih ringan dibandingkan dengan yang menimpa orang lain.

4. Yakinlah bahawa musibah yang anda deritai itu berkaitan dengan dunia sahaja, bukan berkaitan dengan agama.

5. Yakinlah bahawa ubudiyah yang dilaksanakan dengan kusyuk ketika sedang mengalami tekanan terkadang lebih besar nilainya jika dibandingkan dengan yang dilakukan pada saat-saat mengalami kebahagian.

6. Jangan melakukan tipu muslihat;
“Tinggalkanlah tipu muslihat untuk mengubah bencana. Hancurnya tipu muslihat adalah dengan meninggalkannya”.

7. Sedarlah bahawa pilihan Allah SWT adalah yang terbaik.

8. Rasailah bahawa Allah sedang memerhatikanmu…

Maksud hikmah :
1. kebijaksanaan drpd Allah, kecerdikan, pengajaran.
2. rahsia, kelebihan atau tujuan sebenar di sebalik sesuatu perkara (kejadian, hal dsb)
Maksud cubaan:
1. sesuatu yang dialami (dilakukan) untuk mencuba (menguji), ujian, dugaan.
Maksud musibah :
1. bencana, celaka, malapetaka.
Ucapan yang paling afdhal ketika ditimpa musibah kecil atau besar terdapat di surah Al Baqarah ayat 155-157;

Dan sungguh akan Kami berikan cubaan kepada mu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar (yaitu) orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan: "Inna lillaahi wa innaa ilaihi raaji'uun. Mereka itulah yang mendapat keberkatan yang sempurna dan rahmat dari Tuhan mereka dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk.

"Inna lillaahi wa innaa ilaihi raaji'uun (ertinya: Sesungguhnya kami adalah milik Allah dan kepada-Nya-lah kami kembali.) Kalimat ini dinamakan kalimat istirjaa (iaitu pernyataan kembali kepada Allah). Disunatkan menyebutnya waktu ditimpa marabahaya baik besar maupun kecil.

Ini menunjukkan bahawa setiap musibah/cubaan itu akhirnya untuk mengembalikan seseorang hamba kepada Penciptanya. Ini di sebabkan sifat hamba-Nya yang selalu terleka dan jauh dari-Nya dan kerana Allah ingin menguji iman di dada orang-orang beriman sama ada imannya bertambah atau berkurang.

Allah Akan Menggantikan Yang Lebih Baik
Allah tidak pernah mencabut sesuatu dari hamba-Nya kecuali Dia menggantikannya dengan ynag lebih baik. Tetapi, itu apabila disertai dengan kesabaran dan tetap redha dengan segala ketetapan-Nya.

Barangsiapa yang Aku butakan kedua matanya, lalu ia bersabar, nescaya akan Aku ganti dengan syurga(al-Hadis)
Siapa saja orang di dunia ini yang kekasihnya Aku cabut nyawanya kemudian dengan cubaan yang aku timpakan ini dia bersabar dan mengharap pahalaKu, nescaya akan akan Aku gantika dengan syurga. (al-Hadis)

Iaitu, barangsiapa kehilangan anaknya tetapi berusaha untuk bersabar, maka di alam keabadian kelak akan dibangunkan untuknya sebuah Baitul-Hamd (Istana Pujian). (Boleh kiaskan contoh kejadian-kejadian ini dengan kehidupan anda). Maka tidak perlu terlalu bersedih dengan musibah yang menimpa sebab yang menentukan semua itu memiliki syurga, balasan, pengganti dan ganjaran yang besar.

Para waliyullah yang pernah ditimpa musibah, ujian dan cubaan akan mendapatkan penghormatan yang agung di syurga Firdaus. Itu tersirat dalam firman-Nya;
Kesejahteraan dan kebahagian bagi kalian kerana kalian telah bersabar dalam mentaati Allah dan menerima cubaan-Nya. Syurga adalah sebaik-baik tempat kesudahan. (Ar-Ra’ad: 24)

Umur dunia ini sangat pendek dan gudang kenikmatannya pun sangat miskin. Adapun akhirat lebih baik dan kekal. Sehingga barangsiapa di dunia mendapat musibah, ia akan mendapat kesenangan di akhirat kelak dan barangsiapa hidup sengsara di dunia, ia akan hidup bahagia di akhirat. Lain halnya dengan mereka yang memang lebih mencintai dunia, hanya menginginkan kenikmatan dunia saja, dan lebih senang pada keindahan dunia. Hati mereka akan selalu gundah gulana, cemas tidak mendapatkan nikmat dunia. Mereka ini hanya menginginkan kenikmatan dunia sahaja sehingga mereka selalu memandang musibah sebagai petaka besar yang mematikan. Mereka juga akan memandang setiap cubaan sebagai sesuatu yang gelap gelita selama-lamanya. Ini adalah kerana mereka selalu memandang ke arah bawah telapak kakinya dan hanya mengagungkan dunia yang sangat fana dan tidak berharga ini.

No comments:

Post a Comment